BALING:Mufti Negeri Kedah, Datuk Sheikh Fadzil Awang menyatakan bahawa setiap individu mempunyai hak untuk membuat keputusan termasuk bagi tidak menerima suntikan vaksin COVID-19.

Bagaimanapun, individu berkenaan sewajarnya tidak membuat sebarang kenyataan dan menyebarkan berita palsu khususnya membabitkan soal hukum penggunaan vaksin itu.

Jelasnya, berdasarkan hasil penjelasan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam serta mufti-mufti di seluruh negara telah memutuskan hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus.

Beliau menyatakan bahawa konsep 'istihalah' dalam hukum fiqah juga boleh diaplikasi sekiranya wujud sebarang unsur yang tidak boleh dikenal pasti dalam penghasilan vaksin berkenaan.

"Kita mengharapkan kepada rakan-rakan kita yang tidak bersetuju dengan penggunaan vaksin COVID-19, kalau mereka tidak bersetuju itu terpulang kepada mereka sendiri.

"Tetapi keputusan yang mengatakan bahawa penggunaan vaksin ini harus, dibuat di peringkat tertinggi dibincangkan dalam muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dan peringkat mufti-mufti seluruh Malaysia, kita telah bersetuju mengatakan harus, (saya) bersedia Insyallah," katanya.

Sheikh Fadzil berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis serahan sumbangan telefon pintar kepada anak-anak masyarakat Suku Kensiu oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Kampung Lubok Legong, di sini pada Ahad.

BACA: Ikuti perkembangan berita terkini vaksin COVID-19. Klik di sini.

BACA: Vaksin COVID-19 tiada mikrocip, apatah lagi agenda Illuminati - Khairy

BACA: 126,000 individu disuntik vaksin COVID-19 setiap hari bermula hujung Feb - Dr Adham

Beliau dalam pada itu menzahirkan kesedian untuk menerima suntikan berkenaan namun meletakkan keutamaan bagi golongan petugas barisan hadapan sebagai kumpulan terawal untuk menerima vaksin COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menjelaskan bahawa Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam telah mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan ditetapkan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, menentukan kemaslahatan komuniti bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak.

Pada 4 Februari, beliau menjelaskan bahawa kerajaan akan memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara tiga fasa mulai hujung bulan ini, dengan kerajaan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma.

Fasa pertama dari Februari hingga April untuk kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam memerangi wabak itu, sementara fasa kedua dari April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi selain golongan orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga adalah bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan.

8 Januari lalu, Menteri Sains dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengumumkan vaksin Pfizer-BioNTech berjaya didaftar oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), sekali gus memberi kelulusan bersyarat untuk penggunaan vaksin itu di negara ini.