JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Johor menafikan kejadian kepala air berlaku di Gunung Pulai seperti dalam video yang tular hari ini.

Menurut Pemangku Pengarah JBPM Johor, Mohd Rizal Buang, hasil pemantauan pihaknya mendapati keadaan di lokasi dinyatakan tidak seperti yang dipaparkan dalam video dan dipercayai ia merupakan video lama.

"JBPM Negeri Johor ingin menafikan kejadian kepala air yang ditularkan melalui video dari laman sosial Facebook 'Demi Rakyat Johor'.

"Pemantauan dan rondaan dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nenas pada jam 10.33 pagi tadi di kawasan Gunung Pulai.

"Pemantauan mendapati tiada kejadian kepala air mahupun banjir di kawasan berkenaan seperti dalam video bertajuk 'Seramnya. Lokasi: Gunung Pulai' dan berdurasi 53 saat itu," kata Mohd Rizal dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Mohd Rizal berkata, semua BBP diarahkan membuat rondaan dan pemantauan di kawasan panas (hotspot) banjir bermula awal pagi tadi selepas hujan berterusan.

Beliau turut mengingatkan orang awam supaya tidak menular sebarang kenyataan, gambar mahupun video lama yang boleh menggugat kesejahteraan dan keselamatan masyarakat setempat.

"Sekiranya terjadi sebarang kecemasan, orang awam dinasihatkan supaya menghubungi talian kecemasan 999 dan tidak mengambil kesempatan untuk merekodkan video bagi tujuan ditularkan.

"JBPM Negeri Johor juga menyeru supaya masyarakat lebih prihatin dan hanya mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak berwajib," katanya.