TAWAU: Sepuluh kucing dan seekor anjing berjaya diselamatkan pasukan bomba dalam kebakaran kedai haiwan peliharaan di Jalan Apas Batu 3, di sini, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.44 petang.

Katanya, seramai 16 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikerah ke lokasi kejadian.

"Kebakaran membabitkan sebuah kedai haiwan iaitu di bahagian pintu kecemasan dengan anggaran kebakaran kurang daripada 10 peratus.

"Pasukan bomba kemudian bertindak menyelamatkan haiwan iaitu 10 ekor kucing dan seekor anjing ke kawasan selamat, seterusnya memadam kebakaran," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, kebakaran dapat dikawal pada jam 5.21 petang.

"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan bomba," katanya.