Bomba selamatkan kanak-kanak 4 tahun terkunci dalam kereta

Abd Razak Mohd Ali
Mei 26, 2020 08:20 MYT
Kanak-kanak berusia empat tahun yang terperangkap selama 45 minit dalam kereta bapanya berjaya diselamatkan oleh anggota bomba.
Khidmat anggota bomba dipanggil untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang terkunci di dalam kereta bapanya di Taman Gerbang Siputeh, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 12.44 tengah hari.
Menurutnya, setibanya anggota di tempat kejadian, terdapat seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun terkunci di dalam kereta jenis Proton Saga yang berada di parkir dalam kawasan rumah pemanggil.
“Anggota menggunakan peralatan khas bagi membuka kunci pintu kenderaan tersebut dan mangsa diserahkan kepada keluarga dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anggota bomba membantu membuka kunci kenderaan bagi menyelamatkan seorang kanak-kanak yang terperangkap.
Menurut jurucakap itu, berdasarkan maklumat ibu mangsa, kanak-kanak tersebut telah terperangkap lebih kurang 45 minit.
“Pada waktu kejadian enjin dalam keadaan ‘on’ (masih hidup) ketika mereka sedang bersiap untuk pulang ke rumah dari rumah nenek mangsa,” ujarnya.
#Batu Gajah #kanak-kanak empat tahun #kereta berkunci #Perak #Taman Gerbang Siputeh #terperangkap