KAMPAR: Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun berjaya diselamatkan selepas terperangkap di tengah-tengah Sungai Dipang di Kampung Sahom, dekat sini, ketika kejadian kepala air, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 3.59 petang.

Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar segera dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba dilokasi kira-kira 15 minit kemudian.

“Setibanya jentera bersama anggota di lokasi kejadian, didapati seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan 12 tahun terperangkap di tengah-tengah sungai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmi berkata, berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak tersebut mandi manda di kawasan berkenaan bersama-sama dua lagi rakannya.

Bagaimanapun, katanya, dua rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri naik ke tebing sungai dan mangsa terperangkap di atas batu di tengah sungai.

Menurutnya, pihak bomba mengambil masa kira-kira sejam sebelum dapat menyelamatkan kanak-kanak itu.

“Kita perlu tenangkan mangsa terlebih dahulu dan arus pula terlalu deras,” ujarnya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika mandi manda di sungai dan kawasan air terjun, lebih-lebih ketika musim tengkujuh sekarang.

Menurutnya, ibu bapa perlu sentiasa memantau anak-anak mereka ketika berkelah di kawasan rekreasi sempena cuti panjang hujung minggu.

“Janganlah kegembiraan cuti panjang empat hari di Perak berakhir dengan tragedi, ambil langkah berjaga-jaga supaya tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Kalau boleh sebelum bertolak, semak dulu dengan laman web Jabatan Meteorologi Malaysia untuk mengetahui keadaan cuaca tempat destinasi,” ujarnya.