BAGAN SERAI: Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang pemandu lori yang terperangkap dalam banjir kilat di sebuah estet milik swasta di Kampung Dew, dekat sini, malam tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 8.30 malam.

“Kami terima maklumat dari pemanggil yang terperangkap dalam lori di tebing sungai yang airnya melimpah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut jurucakap itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai bergegas ke lokasi menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Katanya, dengan dibantu oleh penduduk kampung, mereka melalui jalan sungai menggunakan sampan kecil dan menjumpai mangsa dalam keadaan sedar.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Kampung Dew dalam keadaan selamat.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shahril Saharudin tamat pada 1.22 pagi.