KUALA TERENGGANU: Peralihan monsun timur laut Jabatan bomba dan penyelamat Terengganu akan menggerakkan lebih 70 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bagi menghadapi pelbagai situasi luar jangka termasuk lemas dan sebagainya.

Justeru itu mereka perlu memastikan tahap kesihatan dan kecergasan berada pada paras terbaik bagi melakukan operasi menyelamat mangsa lemas di sungai, tasik mahupun di laut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata menerusi itu pelbagai latihan perlu dilalui bagi memantapkan kemahiran dan kecergasan pasukan berkenaan.

Katanya latihan itu penting bagi membolehkan mereka sentiasa cergas dalam mengendalikan setiap operasi termasuk bencana banjir yang dijangka melanda tidak lama lagi.

"Pasukan penyelamat terdedah dengan pelbagai risiko jadi mereka perlu hendaklah sentiasa cergas  apatah lagi kalau unit PPDA sentiasa mengikuti latihan fizikal.

"Dan memasuki musim Monsun Timur Laut ini, kita telah melalui empat latihan khusus penyelamatan di air termasuk pengendalian bot dan penyelamatan di permukaan dan bawah air," katanya.

Beliau berkata sebagai satu daripada unit penting dalam pasukan bomba mereka juga terdedah dengan pelbagai risiko ketika melakukan penyelamatan di dalam air.

Katanya pasukan PPDA turut menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi memastikan mereka sentiasa sihat dan cergas untuk menghadapi sebarang kemungkinan serta bencana.

Pasukan Penyelamat di Air  merupakan satu daripada unit penting dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).