DEWAN Ulamak Pas Pusat menyarankan agar umat Islam tidak menyertai Festival Bon Odori kerana mendakwa terdapat unsur-unsur keagamaan di dalamnya.

Menurut ketuanya, Senator Datuk Ahmad Yahya, meskipun terdapat pandangan yang menjelaskan festival tersebut turut berkait dengan kebudayaan Jepun, namun tidak sesekali mengetepikan pandangan bahawa ia mengandungi unsur ritual keagamaan Buddha.

"Prinsip ini selaras dengan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh para mufti, pengkaji agama serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

"Kesemua pendirian ini dinyatakan berdasarkan maslahah awam supaya tidak terjerumus kepada perkara yang boleh membawa kepada pelanggaran akidah.

"Dalam hal ini, alasan kebudayaan Jepun semata-mata tidak cukup merit untuk dipertimbangkan bersama," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan pihaknya tidak akan menghalang mana-mana individu untuk menghadiri program Bon Odori yang dijadual pada 16 Julai depan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic).

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penetapan itu dibuat susulan titah Sultan Selangor yang tidak berkenan apa-apa keputusan mengenai perkara itu disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian mendalam.

Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai program tersebut kerana didakwa mengandungi unsur agama lain.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Dewan Ulamak Pas Pusat mencadangkan agar semua pihak mengikuti langkah kerajaan negeri Kelantan yang tidak lagi menyenaraikan tarian Bon Odori sebagai acara persembahan kebudayaan di dalam Festival Kebudayaan Kelantan-Jepun 2022 Mei lalu.

Tambahnya, Dewan Ulamak Pas Pusat menggesa supaya umat Islam mengambil perhatian terhadap perbahasan berkenaan dengan Festival Bon Odori ini serta tidak mengambil bahagian dalam festival tersebut.

"Di samping itu, badan-badan autoritatif agama di negara ini sewajarnya mewacanakan semula bentuk-bentuk perayaan dan festival dari dalam dan luar negara yang mempunyai kaitan dengan unsur keagamaan lain.

"Ia perlu dibendung secara konstruktif bagi menjaga maslahah ammah di negara ini," ujarnya.