MIRI: Seorang nelayan dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya dipercayai terbalik di perairan Kuala Niah, dekat sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak memaklumkan mangsa dikenali Mohammad Irwandi Ramli, 37, dilaporkan turun ke laut sekitar pukul 10 pagi hari ini.

Mangsa menaiki bot dari Kuala Sibuti Bekenu bersama seorang lagi rakannya Hanafi Othman, 52, untuk memancing udang di Kuala Niah.

“Semasa perjalanan balik sekitar pukul 12 tengah hari, setelah sampai di Muara Kuala Niah bot mereka telah karam.

“Kawan mangsa, Hanafi  telah selamat dijumpai terdampar di pantai Kampung Kuala Lajong oleh penduduk lebih kurang satu kilometer (km) dari lokasi bot karam.

“Bagaimanapun, mangsa (Irwandi) masih hilang, manakala bot telah dijumpai di pantai yang sama dengan jarak lebih kurang dua kilometer dari bot karam,” demikian katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan tersebut lagi, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.10 petang.

Susulan laporan tersebut, enam anggota dari BBP Batu Niah diketuai Ketua Balai BBP Niah, Rary Binjie digerakkan ke lokasi bagi memulakan operasi mencari dan menyelamat mangsa. 

Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan operasi pencarian  dengan berjalan kaki di pesisir pantai Kampung Kuala Lajong Niah.

Bot bomba bagaimanapun tidak dapat diturunkan kerana ombak besar.

Operasi ditangguhkan dan akan disambung semula pada Jumaat berikutan keadaan gelap.