KUCHING: Pembantu tekong yang dilaporkan hilang dalam insiden bot karam di perairan Pulau Satang di sini Sabtu lepas ditemui lemas petang tadi pada jarak 3.7 batu nautika dari lokasi kejadian.

Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata pihaknya menerima panggilan daripada bot pemancing yang melakukan pencarian memaklumkan penemuan satu objek disyaki mayat dalam keadaan terapung pada 4.22 petang.

Beliau berkata mayat itu kemudian dibawa oleh pasukan penyelamat ke jeti Telaga Air dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

BACAL: Bot karam: Berpantang maut sebelum ajal, 9 daripada 10 mangsa syukur ditemui

"Pengesahan mayat telah dilakukan oleh pasukan forensik PDRM (Polis Diraja Malaysia) bersama waris di Hospital Umum Sarawak dan turut menemukan kad identiti pada mangsa.

"Identiti mayat disahkan sebagai Awang Omar Awang Hamsawi, 59, mangsa terakhir tragedi bot tersebut," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lepas, sembilan daripada 10 pemancing, yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam pada kedudukan kira-kira dua batu nautika dari perairan Pulau Satang, berjaya diselamatkan oleh komuniti nelayan di sekitar Pulau Satang Besar pada kira-kira 1 pagi (Ahad) manakala seorang pembantu tekong masih belum ditemukan.