BAGAN DATUK: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan sebuah bot pom-pom yang disyaki membawa 40 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia berdekatan 1.1 batu nautika dari pesisir pantai tanjung Beting Beras Basah, Bagan Datuk, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kehadiran sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dengan muatan dipercayai warganegara asing pada jam 10 pagi.

Katanya lagi, bertindak atas maklumat yang diterima, PPM Kampung Acheh telah bergerak ke lokasi bot yang disyaki membawa PATI berkenaan.

"Menyedari kehadiran pihak polis, pengemudi bot warga Indonesia berumur 47 tahun dan dua pembantu warga Indonesia berumur 23 dan 24 tahun bertindak terjun ke dalam laut bagi melarikan diri, namun berjaya ditangkap pihak polis.

"Pemeriksaan lanjut di dalam bot tersebut telah menemukan 22 lelaki dewasa, 11 wanita, empat kanak-kanak iaitu seorang lelaki dan tiga perempuan dipercayai warga Indonesia berumur lingkungan satu hingga 55 tahun.

"Bot dipercayai dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia namun tersadai akibat kerosakan enjin," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Sehubungan itu katanya, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke Markas Operasi PPM Kampung Acheh bagi tindakan lanjut.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Sekyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Mohd Yusri menambah, kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama berterusan di antara masyarakat dengan agensi penguatkuasaan khususnya polis.

Justeru, katanya polis Perak menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah agar tindakan pembanterasan dapat dipertingkat bagi memastikan negeri ini aman dan selamat.