TENOM: Seorang lelaki berusia 50 tahun dan kanak-kanak lelaki 10 tahun dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mereka bagi membeli barang keperluan, terbalik di Sungai Padas, Kampung Kalandos Pangi di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, bot tersebut dinaiki empat orang yang dalam perjalanan pulang selepas membeli barang keperluan di Pekan Tenom, bagaimanapun dua lagi mangsa berjaya menyelamatkan diri.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Misran Bisara berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pukul 4.13 petang tadi dan tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tenom bergegas ke lokasi kejadian.

"Menurut maklumat awal terdapat empat orang mangsa dalam bot itu semasa menyeberangi Sungai Padas untuk balik ke rumah.

"Semasa kejadian, bot yang menghampiri tebing sungai tiba-tiba terbalik kerana arus sungai yang deras. Dua mangsa seorang warga emas lelaki dan seorang wanita dewasa berjaya menyelamatkan diri, manakala dua mangsa lagi telah dibawa arus deras," katanya ketika dihubungi pemberita malam ini.

Beliau berkata lokasi kejadian hanya boleh diakses dengan menggunakan pengangkutan kereta api dan pasukan bomba mengambil masa hampir sejam untuk ke lokasi kejadian menggunakan pengangkutan tersebut.

Katanya identiti sebenar mangsa termasuk nama serta hubungan kekeluargaan masih disiasat, dan operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang dilakukan dengan bantuan agensi antaranya Polis Diraja Malaysia serta orang ramai.

-- BERNAMA