KOTA TINGGI: Sektor pencarian hari keempat insiden bot pancung terbalik di perairan Tanjung Balau di sini, diperluaskan lagi hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, sektor pencarian udara hari ini diperluaskan 76.5 batu nautika persegi.

Pada masa sama, pencarian di laut diperluaskan 106.02 batu nautika persegi, bagi mencari baki 16 mangsa pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masih hilang.

"Ia menjadikan jumlah keseluruhan kawasan pencarian setakat ini seluas 182.5 batu nautika persegi meliputi Tanjung Balau hingga ke Sungai Rengit.

"Bagi pencarian udara ia melibatkan dua pesawat udara daripada Maritim Malaysia dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Manakala bagi pencarian laut, empat aset laut daripada Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) PDRM.

"Pencarian di pesisir pantai diteruskan oleh agensi sahabat. Jumlah keseluruhan anggota penyelamat di darat, udara dan laut adalah seramai 77 orang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Simon, sehingga jam 8 pagi ini, tiada penemuan mangsa baru direkodkan.

Semalam, terdapat satu mayat lelaki ditemui di Perairan Tanjung Punggai, manakala salah seorang daripada 14 mangsa yang selamat disahkan meninggal dunia akibat lemas.

Ia menjadikan jumlah mangsa yang ditemui 34 iaitu 21 meninggal dunia, 13 selamat dan 16 lagi masih hilang.