Sebanyak 2.3 juta permohonan baharu dan rayuan bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) telah diluluskan melibatkan jumlah RM1.7 bilion.

Kelulusan dibuat selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) selesai membuat semakan ke atas permohonan baharu dan rayuan ini.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pembayaran BPN bagi yang layak akan dibuat secara sekaligus mulai 15 Mei.

“Dengan kelulusan permohonan baharu dan rayuan tersebut, jumlah penerima BPN setakat ini adalah sebanyak 10.6 juta, merangkumi jumlah bayaran bernilai RM11 bilion (iaitu tambahan RM1 bilion berbanding peruntukan asal RM10 bilion),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BPN merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN Rakyat bernilai RM260-bilion. Kementerian Kewangan membuka permohonan baharu dan rayuan antara tempoh 1 - 30 April, 2020.

Semakan status permohonan baharu dan rayuan boleh dibuat mulai hari ini melalui pautan https://bpn.hasil.gov.my/.