MUALLIM: Pemandu treler terlibat kemalangan di Kilometer 371.7 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, dekat Slim River malam tadi, dipercayai membrek kenderaannya secara mengejut, menyebabkan ia terbabas lalu terbalik.

Ia dapatan awal siasatan polis, menurut Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir, yang turut mengenal pasti mangsa sebagai Mohd Nor Afzam, 36 tahun, beralamat di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Mohd Hasni berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan maut itu pada kira-kira jam 11 malam.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati treler dalam perjalanan dari dari Pulau Pinang hendak ke Kajang.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa telah membrek mengejut kerana terdapat sebuah kereta di hadapannya, nombor pendaftaran tidak pasti.

"Ia menyebabkan treler hilang kawalan lalu terbabas, melanggar dan terseret di besi pembahagi tengah jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, pagi ini.

Menurutnya lagi, mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan dan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memberitahu, treler yang terlibat membawa muatan minyak hitam dan diesel.

Menurutnya, dua buah kren digunakan untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.