LONDON: Britain merayu individu misteri yang dijangkiti varian baharu COVID-19 dari Brazil tampil kepada pihak berkuasa selepas gagal dikesan sejak dua minggu lalu.

Individu berkenaan dilapor positif COVID-19, namun gagal memberikan butiran lengkap mengenai dirinya. 

Setakat ini, enam kes COVID-19 dikesan melibatkan varian yang dikenali dengan nama P.1.

Varian P.1 mula dikesan di Manaus, Brazil.

Dua kes dikesan di Selatan Gloucestershire, England dan tiga kes di Scotland.

Manakala, kes keenam yang dikesan di England adalah antara lebih sejuta orang yang telah menjalani ujian calitan pada 12 hingga 13 Februari lalu.

Varian P.1 berkongsi mutasi yang signifikan dengan varian pertama kali dikesan di Afrika Selatan dikenali sebagai B.1.351.

Perdana Menteri Boris Johnson, dalam pada itu berkata, tiada bukti setakat ini yang menunjukkan vaksin digunakan tidak berkesan terhadap varian baharu.

Setakat ini, lebih 20 juta orang telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 di Britain, manakala kira 800,000 orang telah menerima dos kedua mereka.