KUALA LUMPUR : Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) mendedahkan, pihaknya dan kerajaan Thailand sedang menggubal perjanjian damai berasaskan Prinsip-Prinsip Am Proses Dialog Damai yang dipersetujui pada 31 Mac 2020.

Perunding BRN, Dr Nikmatullah Seri menjelaskan, Bangkok buat masa ini masih menimbang semua cadangan BRN ke arah penggubalan perjanjian damai yang mampu membawa keamanan kekal di wilayah Selatan Thailand.

“BRN berpegang kepada Inisiatif Berlin yang disepakati kedua-dua pihak pada 31 Mac 2020 yang telah difasilitasikan oleh Kerajaan Malaysia dan pemerhati keamanan antarabangsa lain.

“Persetujuan kepada Inisiatif Berlin yang juga dikenali sebagai Prinsip-Prinsip Am Proses Dialog Damai dianggap sebagai komitmen politik bersejarah kerana ia mengiktiraf secara rasmi identiti bangsa Melayu Patani atau Komuniti Patani dari segi hak asasi manusia, keadilan, undang-undang, ekonomi, dan pembangunan dari pelbagai segi termasuk pendidikan, kebudayaan, dan hal ehwal keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tegas beliau, BRN komited menjayakan perjanjian damai ini menerusi proses rundingan aman dan berharap Bangkok menerima semua cadangan BRN ke arah penggubalan perjanjian damai itu.

Selain itu, isu keselamatan perwakilan BRN yang menyertai proses konsultasi awam juga terkandung di dalam hala tuju perjanjian damai tersebut.

BRN sebelum ini mahu semua perwakilan diberikan perlindungan keselamatan dan kekebalan undang-undang dalam usaha menjayakan proses konsultasi awam yang berdasarkan prinsip maruah, keselamatan dan kebebasan bersuara.

Menurut Dr Nikmatullah, BRN tidak pernah menolak rundingan damai, sebaliknya, aktif menjayakan rundingan demi rundingan sejak 2013 lagi.

Komitmen BRN itu membawa kepada kesepakatan kedua-dua pihak terhadap proses damai yang dikenali sebagai “Kuala Lumpur General Consensus” pada 28 Februari 2013.

Pada 20 Januari 2020, BRN dan kerajaan Thailand meneruskan rundingan demi rundingan yang difasilitasikan oleh Kuala Lumpur.

Komitmen kedua-dua pihak ini memberi harapan ke arah penggubalan perjanjian damai apabila BRN dan Bangkok menyepakati Prinsip-Prinsip Am Proses Dialog Damai pada 31 Mac 2020.

Bagi memastikan momentum ke arah keamanan kekal tinggi, BRN menyeru komuniti Patani supaya terus menyokong usaha tersebut dan berpegang kepada prinsip-prinsip yang telah dipersetujui di dalam rundingan damai sebelum ini.

BACA: Proses damai di Selatan Thai: Barisan Revolusi Melayu Patani mahukan jaminan keselamatan

 BACA : Peristiwa Tak Bai: Perjuangan menuntut keadilan berbaki dua tahun lagi