Buat laporan jika naskhah al-Quran didapati tiada kelulusan KDN - Muhyiddin

Bernama
Februari 20, 2019 21:30 MYT
Al-Quran yang tidak diluluskan tidak boleh diguna pakai berikutan cara pembacaan dan percetakannya adalah berbeza dengan al-Quran resam Uthmani yang dipakai negara. - Gambar hiasan
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu umat Islam proaktif dan tampil membuat laporan sekiranya mengesan ada penjualan naskhah al-Quran yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), sama ada yang dicetak atau dijual secara dalam talian.
Beliau berkata pihaknya melakukan penguatkuasaan secara berterusan untuk memastikan al-Quran yang tidak mendapat kelulusan daripada KDN itu tidak dijual dalam pasaran tempatan.
"Kita pandang berat perkara ini kerana tidak mahu penyelewengan berlaku. Justeru umat Islam mesti berjaga-jaga, daripada menggunakan Al-Quran yang tidak diluluskan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program 'Painting From The Heat: Art For Good' di sini, pada Rabu.
"Kadang-kadang untuk online susah kita nak siasat namun kalau dia (pengadu) syak Al-Quran yang dibeli itu tidak betul, boleh minta (bantuan) pihak berkuasa untuk kita hantar panel semak perkara itu," tambahnya.
Muhyiddin menegaskan umat Islam perlu lebih berhati-hati kerana al-Quran yang tidak diluluskan tidak boleh diguna pakai berikutan cara pembacaan dan percetakannya adalah berbeza dengan al-Quran resam Uthmani yang dipakai negara.
Menurutnya KDN hanya meluluskan Al-Quran al-Karim resam Uthmani yang mempunyai cop khas dalam Jawi dengan warna biru tertera perkataan 'Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran memperakui bahawa ayat-ayat Al-Quran yang terkandung dalam teks ini adalah betul', selain memasukkan ciri baharu iaitu kod QR dan hologram.
Isnin lepas, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN Selangor merampas 5,050 unit al-Quran yang tidak diluluskan bernilai RM502,800 di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara Klang, yang dipercayai dibawa masuk dari Indonesia untuk pasaran tempatan dan dijual secara dalam talian.
-- BERNAMA
#KDN #kelulusan #Muhyiddin Yassin #pasaran #pengguna #Quran #Umat Islam