ALOR SETAR: Empat kakitangan tetap Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat tuntutan palsu bagi elaun penugasan rondaan keselamatan berjumlah RM59,520 dua tahun lalu.

Tertuduh Mohd Khairul Anuar Maliki, 32 tahun; Idrus Zakaria, 47 tahun; Siti Munirah Abdul Rahim, 35 tahun; dan Sahrol Miza Samad, 44 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Isnin.

Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa telah mengemukakan pengakuan baucar tuntutan elaun kepada anggota Rela yang terlibat dalam tugasan rondaan sempena bulan kemerdekaan bagi daerah Kulim, Kedah pada tahun 2019.

Dokumen tuntutan itu mengandungi butiran palsu berkaitan jumlah pembayaran sebanyak RM59,520 yang kononnya dibayar kepada anggota Rela yang menjalankan penugasan rondaan.

Bagaimanapun, penugasan rondaan berkenaan tidak dilaksanakan.

Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Jabatan Rela Kedah, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar pada 10 September 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Siew Ping, manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan sebutan semula bagi serahan dokumen pada 27 Disember depan.