KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengambil pendirian menunggu keputusan yang bakal ditetapkan oleh pucuk pimpinan parti berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Jelasnya, Pas Kelantan menyerahkan kepada keputusan pucuk pimpinan parti berhubung kedudukan DUN di Kelantan.

"Tunggu keputusan terkini dari pucuk pimpinan, kalau ada keputusan terbaharu, kita akan ikut apa jua keputusan parti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembubaran parlimen sebentar tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri pada perutusan khas yang disiarkan dari bangunan Perdana Putra, Putrajaya pukul 3 petang Isnin.

[TERKINI] Perutusan Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri


Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata pas seperti sebelum ini membuat ketetapan untuk tidak membubarkan DUN.

"Kelantan kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri, walaupun kerajaan megumumkan parlimen dibubarkan berkuasa hari ini," katanya melalui satu kenyataan.

Kelantan mempunyai 45 kerusi DUN, dimana tujuh dimenangi UMNO, satu Bersatu manakala selebihnya dikuasai Pas.

14 kerusi Parlimen pula, tiga kerusi disandang Ahli Parlimen UMNO, dua dari Bersatu manakala selebihnya oleh Pas.