SERDANG: "Tunggu... tunggu... tunggu."

Itu reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya oleh pemberita mengenai tarikh pembubaran Parlimen selepas beliau merasmikan Perhimpunan Perdana sambutan 60 Tahun KEMAS, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, pada Ahad.

Sejak kebelakangan ini, spekulasi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam tempoh terdekat semakin hangat didebatkan.

Sebelum ini, wujud desas desus bahawa Parlimen mungkin akan dibubarkan pada November susulan  pembentangan Bajet 2023  yang diawalkan pada 7 Oktober depan, berbanding tarikh sebenar.

Media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan Bajet 2023 yang sepatutnya dibentangkan pada 28 Oktober ini diawalkan tiga minggu.

Ia dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selepas diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet.