JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri mengaku bersalah atas pertuduhan menganiaya dan menyebabkan kecederaan terhadap anak mereka berusia empat tahun yang meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, hujung bulan lalu.

Pengakuan itu dibuat kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.

Mengikut pertuduhan, ibu kanak-kanak itu, A Sangeetha, 23, dan bapa tirinya S Nagendran, 23, didakwa dengan niat menganiayai kanak-kanak lelaki di bawah jagaan mereka, yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu dilakukan di Skudai Villa Apartment, Jalan Aman, Taman Skudai Baru pada jam 12.30 tengah malam 28 April lalu.

Kes didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Idayu Salim dan Umar Faiz Abdul Kohar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan melaporkan diri setiap bulan di Balai Polis Mutiara Rini.

Tertuduh juga diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 7 Jun sebagai tarikh lantikan peguam, fakta serta hukuman.

Pada 29 April lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tiri menggunakan tangan dan penyangkut baju.