Budak dipukul gara-gara lekat gula getah pada bonet kereta

Aida Aziz
Februari 19, 2019 07:16 MYT
Video yang memaparkan kanak-kanak itu dipukul setelah didakwa melekatkan gula-gula getah pada bonet sebuah kereta. -Video tular
Seorang kanak-kanak dipukul setelah didakwa melekatkan gula-gula getah pada bonet sebuah kereta.
Video kejadian yang tular sejak Isnin itu dikatakan berlaku di sebuah rumah kebajikan kanak-kanak di Taiping.
Rakaman video itu memaparkan seorang lelaki dewasa memukul seorang kanak-kanak lelaki berulang kali di bahagian tengkuk.
Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Suprintenden Razlam Ab Hamid berkata pihaknya menerima aduan pada jam 8.30 malam daripada seorang pengadu yang melihat video itu di sebuah laman Facebook.
"Melalui video tersebut, dipercayai kejadian berlaku di Rumah Kanak-Kanak Taiping, Jalan Stesen Hulu, Taiping, Perak. Pengadu berasa tidak puas hati kerana perbuatan tersebut sepatutnya tidak berlaku dan meminta pihak berkuasa menyiasat dan seterusnya mengambil tindakan sepatutnya.
"Melalui video yang dipaparkan menunjukkan suspek telah memukul mangsa menggunakan tangan beberapa kali di bahagian belakang tengkuk mangsa kerana dipercayai mangsa melekatkan gula getah pada kereta suspek.
"Dipercayai mangsa menginap di rumah kanak-kanak tersebut," menurutnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, siasatan telah dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
#belakang tengkuk #bonet kereta #gula-gula getah #kereta suspek #Razlam Ab Hamid #Rumah Kanak-kanak Taiping #rumah kebajikan kanak-kanak