SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki menerima lapan jahitan selepas diserang buaya dalam satu kejadian di Kampung Batu Putih, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa berusia 9 tahun berkenaan cedera di tangan akibat digigit haiwan berkenaan.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan, Hussien Muin berkata, sewaktu air laut pasang besar, jalan kampung perumahan dinaiki air.

Menurutnya, mangsa bersama rakan sebaya difahami berenang keluar daripada rumah jiran menuju balik ke rumah.

"Tiba-tiba mangsa diserang dan dibaham di bahagian tangan namun mangsa sempat melawan dan berjaya melepaskan diri sebelum diselamatkan oleh bapa mangsa.

"Mangsa telah dikejarkan ke sebuah klinik swasta lalu diberikan rawatan sebelum pulang ke rumahnya.

"Anggota JHL kemudian memeriksa mangsa di rumah dan pemeriksaan mendapat mangsa menerima lapan jahitan di lengan sebelah kanan, cedera di bahagian bahu kanan dan kepala," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Menurutnya, susulan kejadian itu anggota JHL Sandakan mendapatkan maklumat daripada bapa mangsa seterusnya membuat pemantauan di sekitar lokasi kejadian.

"Bagaimanapun semasa tinjauan dibuat tiada kelibat buaya dilihat berhampiran kawasan dan sewaktu tinjauan dibuat air surut sepenuhnya.

"Ekoran daripada itu, para penduduk setempat telah dinasihati agar sentiasa berwaspada apabila menggunakan laluan jalan ketika air laut pasang.

"Penduduk juga diminta sentiasa memastikan anak-anak tidak berada atau bermain di kawasan berhampiran sungai berkenaan bagi tujuan keselamatan," katanya.