KUALA LUMPUR: Dentuman kuat membawa kepada penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, dipercayai terjatuh dari tingkat atas sebuah kondominium di Jalan Langkawi, Setapak, di sini, malam tadi.

Insiden terbabit disedari penduduk setempat kira kira jam 7 malam.

Difahamkan, kanak-kanak malang warga Somalia itu baru selesai menghadiri kelas mengaji di Blok A kondominium berkenaan.

Namun, ibu mangsa berasa cemas apabila gagal menemui anaknya ketika hendak menjemputnya pulang ke rumah.

Hasil pencarian, ibu mangsa menemui anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas jalan raya dekat Blok B.

Kedua-dua anak beranak itu dipercayai merupakan warga Somalia dan pemegang Kad UNHCR (Agensi Pelarian PBB) sejak 2017.

Polis difahamkan turut menemui beg sandang mengandungi al-Quran di tingkat 4 berhampiran tangga dekat Blok B.

Kenyataan media oleh Ketua Polis Kuala Lumpur akan dikeluarkan dalam waktu terdekat.