Buffet Ramadan: 83.85% undian lebih rela membayar bawah RM50 seorang

Astro Awani
Jun 19, 2015 10:30 MYT
Oleh kerana kesibukan bekerja, ada yang lebih gemar untuk berbuka puasa di hotel ataupun di restoran pilihan dan antara yang popular adalah menikmati kemudahan hidangan buffet. - Gambar fail
Oleh kerana kesibukan bekerja ketika bulan Ramadan, ada yang lebih gemar untuk berbuka puasa di hotel ataupun di restoran pilihan untuk menikmati kemudahan hidangan buffet.
Walaupun sajian buffet kadangkala boleh mencecah sehingga RM200 seorang, namun adakah ada yang mengambil sikap tepuk poket, keluar dompet – bayar sahaja?
Berdasarkan tinjauan Astro AWANI setakat jam 5 petang, rata-rata pembaca memilih mengeluarkan belanja untuk menjamu selera di buffet Ramadan pada harga yang lebih berpatutan iaitu bawah RM50 seorang.
83.85 peratus daripada undian memilih untuk berbelanja bawah RM50 seorang manakala 12.15 peratus daripada pembaca Astro AWANI memilih untuk berbelanja bawah RM100 untuk hidangan buffet ketika berbuka puasa.
Namun ada juga di antara pengguna Facebook yang berasakan walaupun buffet pada RM50 adalah berpatutan namun ia tidak berbaloi untuk sekadar berbuka puasa.
"Kerja RM50 sehari di bawah tengah hari yang terik dan dimarahi dengan majikan. RM50 hanya untuk makan berbuka satu kepala sahaja tidak berbaloi," ujar Muhammad Ikhwan.
Pengguna Facebook Pengiran Pidi Shah juga bersetuju dengan pendapat Muhammad Ikhwan di mana buffet Ramadan berharga RM50 adalah terlalu mahal.
"Buffet Ramadan pada RM50-60 terlalu mahal. Harga makanan sudah sama seperti sehari gaji seorang pekerja. Saya pada bulan Ramadan ini selalu ke masjid kerana terima kasih kepada pengusaha-pengusaha restoran yang budiman membuat moreh di masjid."
Bagi Pengguna Facebook Sya Q Samudi juga berasakan RM50 buffet Ramadan boleh dibelanja untuk perkara lain.
"Bawa RM50 ke pasar boleh beli stok makanan mentah untuk dua hingga tiga hari. Lebih jimat masak sendiri, daripada berbuka bermewah-mewah.
"Objektif puasa untuk kita merasai keperitan mereka yg susah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bukan nak bermewah seperti ini di bulan Ramadan," jelas Sya Q Samudi.
Sementara itu, hanya 2.72 peratus daripada pembaca Astro AWANI memilih untuk berbelanja pada RM200 seorang dan 1.28 peratus memilih untuk berbelanja bawah RM150 seorang.
#buffet #poll #puasa #Ramadhan