KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini mendesak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar membuka ruang perbahasan sewaktu sidang Parlimen Khas pada 26 Julai hingga 2 Ogos ini seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Majlis itu menegaskan  tindakan tidak membuka ruang perbahasan sewaktu sidang Parlimen Khas akan datang seolah-olah menderhaka terhadap titah Baginda.

"Majlis Presiden Pakatan Harapan memberi amaran keras kepada kerajaan Perikatan Nasional agar hentikan pencabulan institusi demokrasi negara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2021 telah menzahirkan titah pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan segera supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan berkaitan pandemik COVID-19," jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Baginda juga telah menitahkan pandangan yang sama pada 24 Februari dan 29 Jun 2021 yang senada dengan aspirasi rakyat yang mahu kemelut pandemik dan kemelesetan ekonomi berakhir.

Selain itu Ketua Pembangkang juga pada 12 Julai lalu juga telah menghantar usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membahaskan perkara-perkara yang digesa oleh Baginda.

"Malangnya kenyataan media Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 15 Julai menyatakan persidangan Dewan Rakyat pada 26 Julai hingga 2 Ogos, hanyalah satu persidangan khas bagi mendengar penerangan atau ceramah Menteri-Menteri tanpa sebarang perbahasan oleh Ahli-ahli Parlimen.

"Oleh itu, Pakatan Harapan mendesak Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan kerajaan Perikatan Nasional agak tidak derhaka terhadap titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan terus membuka ruang perbahasan serta diputuskan bagi membolehkan Parlimen berfungsi semula secara normal dan Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh menunaikan tanggungjawab murni mereka membela hak rakyat," jelas kenyataan itu lagi.


PH TIDAK BENTANGKAN UNDI TIDAK PERCAYA

Sementara itu demi memberi tumpuan kepada masalah rakyat, Pakatan Harapan juga tidak akan membentangkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri pada sesi itu nanti.

"Tidak ada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan oleh Pakatan Harapan yang mahu tumpuan diberikan hanya kepada masalah rakyat ekoran krisis COVID-19 dan kemelesetan ekonomi," tambah kenyataan itu lagi.