KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hadir memberikan taklimat kepada lebih 30 pemain sektor perniagaan dan duta asing dalam sesi diskusi anjuran Kuala Lumpur Business Club (KLBC) Fireside Chat, pada Rabu.

Sesi yang berlangsung selama satu jam itu bertujuan memberi gambaran lebih jelas mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi pengembara perniagaan asing, sebagai persediaan pembukaan semula sempadan negara bulan depan.

"Kita masih belum berada dalam endemik, ditambah pula jika kita mahu letakkan negara dalam endemik, ia mesti mempunyai definisi yang dipersetujui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kita belum berada di peringkat itu lagi, kita sedang beralih ke endemik.

"Kedua, kuasa undang-undang Akta 342 masih ada, Malaysia masih zon pandemik di bawah Akta 342 di bawah Kementerian Kesihatan, sebab itu kita masih perlu memakai pelitup muka, ia adalah keperluan undang-undang.

"Saya ingin menyentuh tentang endemik denggi di negara ini, endemik bermakna ia ada tetapi kita tidak bimbang mengenainya.

"Sekarang ini, kematian akibat COVID-19 adalah kira-kira 0.2 peratus, kadar kematian akibat denggi, angka yang sama pada 2017 iaitu 0.2 peratus, jadi kita ingin mengatakan kematian akibat COVID-19 pada hari-hari tertentu, ia sama dengan endemik, di mana dari segi kes kematian telah turun kepada kadar endemik," jelasnya.

Khairy turut memberikan taklimat mengenai kadar semasa vaksinasi di negara ini selain turut mengadakan sesi soal jawab.

Antara yang hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay; Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Hannah Birdsey; dan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Bhd, Datuk Charon Mokhzani.