KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini dilihat sebagai beban kepada UMNO dan tidak lagi relevan untuk parti Melayu terbesar negara itu.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jamaie Hamil berkata, UMNO perlu mempunyai barisan kepimpinan tidak terpalit isu rasuah yang boleh menjejaskan imej parti di mata rakyat.

"UMNO sepatutnya perlu mempunyai hala tuju yang jelas menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sama ada mahu memperbaiki semula keyakinan rakyat untuk memilih mereka atau terus mempertahankan pemimpin tertentu.

"Apabila sudah ada pemimpin sedemikian, secara tidak langsung rakyat melihat parti itu sendiri sebenarnya banyak masalah berdasarkan ketidaksediaan pemimpin lain untuk menukar ketuanya.

"Perkara itu penting, kalau ketuanya ada masalah, maka rakyat meletakkan satu ketidakyakinan kepada parti itu, jadi sebelum PRU akan datang, UMNO perlu membuat sesuatu supaya sokongan rakyat kembali," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

BACA: 'Penafian Zahid itu yang karut dan cerita kartun' - Nazri Aziz

BACA: 
'Zahid Hamidi perlu dedah Ahli Parlimen UMNO tandatangan SD sokong Anwar' - Zahidi

Sebelum ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencabar Presiden UMNO untuk membuktikan beliau masih mempunyai sokongan 25 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Nazri mendakwa, Zahid tidak mempunyai bukti untuk menafikan semua 25 Ahli Parlimen BN terbabit hilang keyakinan terhadap kepimpinan beliau.

Dalam pada itu, Jamaie berkata, adalah suatu yang tidak tidak masuk akal jika UMNO mempertahankan pemimpin seperti Ahmad Zahid.

"Saya tidak kata Ahmad Zahid tidak ada karisma tetapi disebabkan masalah-masalah seperti itu, UMNO perlu cari satu penyelesaian cepat supaya ada keyakinan rakyat untuk mengundi kepada BN semula.

"Ahli-ahli akar umbi dilihat mahu menggantikan kepimpinan sedia ada dan Ahmad Zahid dipercayai tidak lagi akan kekal memegang jawatan itu nanti.

"UMNO perlu berbuat sesuatu dengan cepat supaya keyakinan rakyat untuk mengundi balik UMNO atau gabungan bersama UMNO sama ada Muafakat Nasional (MN) atau BN dalam PRU15 akan jadi kenyataan," katanya.