SHAH ALAM: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) tidak bersetuju sekiranya usia persaraan di sektor lain turut ditingkatkan kepada 61 tahun seperti yang dilaksanakan oleh kakitangan bank komersial di negara ini.

Presidennya, Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata, sekarang bukan masa yang bersesuaian kerana kadar pengangguran ketika ini adalah 3.7 peratus manakala pengangguran belia melebihi 10 peratus.

Menurutnya, peningkatan umur persaraan daripada 55 tahun kepada 60 tahun pada Julai 2013 lalu telah menyebabkan kehilangan kira-kira sejuta peluang pekerjaan untuk graduan baharu dan kemasukan pekerja baharu ke pasaran buruh.

“Membenarkan pekerja bekerja lebih lama dan bersara selepas 60 tahun akan mengekalkan bekalan buruh dan memberi pekerja yang lebih tua aliran pendapatan yang lebih panjang dalam masyarakat yang semakin menua terutamanya ketika mereka masih sihat serta produktif.

“Menaikkan umur persaraan minimum daripada 60 tahun pada ketika ini akan menghalang usaha untuk mencergaskan semula pasaran buruh Malaysia dan ekonomi keseluruhan dalam senario pengangguran semasa terutamanya di kalangan belia dan siswazah yang melebihi 10 peratus,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, Perjanjian kolektif (CA) baharu ditandatangani Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) dengan Persatuan Bank Komersial Malaysia menyenaraikan usia persaraan baharu kakitangan bank komersial di negara ini naik kepada 61 tahun.

Perkembangan itu menyaksikan usia persaraan penjawat sektor berkenaan setahun lebih tua berbanding kakitangan sektor lain di negara ini.

Setiausaha Agung NUBE, J Soloman berkata, usia persaraan terkini dalam CA baharu itu merangkumi kakitangan bank komersial yang berkhidmat sepenuh masa dan tidak membabitkan mereka yang bekerja secara kontrak.

Dalam pada itu, Syed Hussain berkata, walaupun dilihat mempunyai faedah untuk melanjutkan umur persaraan dari segi mengekalkan tenaga kerja yang lebih tua, namun ia juga akan memberi cabaran kepada majikan.

Jelasnya, ia lebih-lebih lagi bagi sektor yang memerlukan kekuatan fizikal seperti dalam pembinaan, perladangan dan pembuatan.

Tambah beliau, peningkatan umur persaraan secara menyeluruh juga akan meningkatkan kos perubatan yang ditanggung majikan kerana banyak syarikat insurans tidak berminat untuk memberikan perlindungan kepada pekerja yang lebih tua.

“Pekerjaan melebihi 60 tahun hendaklah atas persetujuan bersama antara pekerja dan majikan. Pekerjaan selepas umur 60 tahun akan sangat bergantung kepada prestasi pekerja, keadaan perubatan, disiplin dan produktiviti,” ujarnya.

Beliau berkata, pendekatan yang lebih baik ialah mengamalkan polisi penggajian semula kepada pekerja berumur 60 tahun ke atas secara kontrak yang memberikan kelonggaran untuk kedua-dua pihak iaitu pekerja dan majikan. -- Sinar Harian