IPOH: Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mempersoalkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa rakyat akan kecewa sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dibebaskan selepas didapati bersalah oleh mahkamah berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Tegas Saarani, pendirian Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu bercanggah dengan tindakannya sebelum ini yang pernah menandatangani petisyen membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bukankah Tun Dr Mahathir merupakan orang yang bertanggungjawab membuat petisyen pardon (pengampunan) untuk Anwar?

"Adakah anda fikir (waktu itu) rakyat tidak kecewa? Rakyat kecewa... tapi waktu itu dia (Dr Mahathir) jadi PM (Perdana Menteri), sama saja... serupa saja," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas program Mesra Bersama Peneroka Felda Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan, di sini, pada Ahad.

[LAPOR LANGSUNG] Kes SRC: Mahkamah kekal sabitan dan hukuman, Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang mendakwa,
rakyat akan berasa kecewa sekiranya Najib dibebaskan selepas didapati bersalah oleh mahkamah.

Dr Mahathir turut mengakui, memang ada pihak yang berkuasa untuk berbuat demikian.

Sementara itu, menyentuh mengenai petisyen pengampunan untuk Najib pula, Saarani berkata, UMNO Perak sudah mulakan langkah mengeluarkan pekeliling bagi mendapatkan tandatangan dalam kalangan ahlinya.

Ia susulan gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta ahli parti supaya menyokong petisyen pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri yang pada Selasa lalu dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun.

"Ia (petisyen) bukanlah satu perkara yang pelik, sudah tentu di kalangan penyokong yang bersimpati dengan nasib Datuk Seri Najib berhasrat untuk memohon limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan.

"Kita (UMNO Perak) mulakan sekarang, saya akan minta Pegawai Badan Perhubungan untuk mengeluarkan circular (pekeliling) supaya kita dapat anjurkan tandatangan beramai-ramai di kalangan ahli.

"Secara kebetulan UMNO sedang mengadakan mesyuarat UMNO cawangan-cawangan, waktu itu boleh buat (tandatangan petisyen)," jelas Saarani lagi.