KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan ahli perniagaan yang menjadi buruan Teow Wooi Huat kini ditahan pihak berkuasa Thailand.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata suspek merupakan individu yang disiasat oleh PDRM di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.

"PDRM kini sedang dalam proses permohonan untuk penama dihantar pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Sebelum ini, visa ahli perniagaan terbabit telah dibatalkan dan berada dalam senarai Notis Merah Interpol.

BACA: 'Jho Low 2' ditahan terlibat pengubahan wang haram di Thailand

Teow mengasaskan MBI Group dan mengendalikan kompleks hiburan termasuk resort di bandar Danok di sempadan Thailand-Malaysia dan turut membina empayar perniagaan daripada skim pelaburan dalam talian yang memikat pelabur dari China, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Macau.

Pada 2017, Teow pada mulanya telah ditahan Biro Kawalan Narkotik (NSB) Thailand atas tuduhan kesalahan dadah, namun dia melarikan diri dari Songkhla dan terlepas daripada hukuman mati.

Pada 2019, pihak berkuasa Malaysia membekukan 91 akaun bank berjumlah RM177 juta yang dikaitkan dengan MBI Group International ketika itu. Bank Negara telah menyenaraikan syarikat itu sebagai syarikat yang menjalankan skim kewangan meragukan.

-- BERNAMA