KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengiktiraf Bukit Bendera, Pulau Pinang sebagai kawasan rizab biosfera.

Pengiktirafan itu menjadikannya sebagai tempat ketiga diiktiraf sebagai rizab berkenaan di Malaysia selepas Tasik Chini, Pahang pada 2009 dan Banjaran Crocker di Sabah pada 2014  di bawah Program Man and the Biosphere (MAB), UNESCO.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pengumuman itu dibuat semasa mesyuarat International Coordinating Council of the 33rd Session of the International Coordinating Council of Man and ICC MAB.

"Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sebagai national focal point kepada program MAB merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan negeri Pulau Pinang atas pengiktirafan ini.

"Pengiktirafan ini merupakan kejayaan buat Malaysia amnya dan kerajaan negeri Pulau Pinang khususnya dalam pengurusan kawasan berkepentingan biodiversiti di samping komitmen dalam melaksanakan pembangunan mampan," katanya.

"Rizab biosfera Bukit Bendera yang berkeluasan 12,481 hektar merupakan 'paru-paru hijau' kepada negeri tersebut. Kawasan berkenaan merangkumi Taman Botani Pulau Pinang, Taman Negara Pulau Pinang, enam hutan simpanan kekal serta dua empangan.

"Rizab biosfera Bukit Bendera juga merangkumi tiga ekosistem utama iaitu kawasan berhutan, pantai dan marin. Setiap ekosistem menyokong pelbagai rangkaian flora dan fauna, termasuk mamalia dan burung hijrah migrasi terancam," tambah beliau lagi.

Untuk rekod, sebanyak 2,456 spesies tumbuhan, 131 spesies fungi, 300 spesies artropod, 157 spesies vertebrata, 26 spesies amfibia, 87 spesies reptilia, 150 spesies burung, 30 spesies mamalia dan 5 spesies marin mendiami kawasan tersebut.