KUALA LUMPUR:Pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan membantu menjawab pelbagai persoalan rakyat terutamanya berkaitan vaksin pandemik berkenaan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, kesedaran mengenai kepentingan vaksin juga harus selalu disampaikan kepada rakyat.

“Pengumuman dan pelancaran buku ini sangat bertepatan pada waktunya. Seperti kita sedia maklum, vaksin akan tiba tidak lama lagi.

BACA: Ikuti perkembangan berita terkini vaksin COVID-19. Klik di sini.

BACA: Jangan ambil mudah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan - Perdana Menteri

“Jadi tentunya banyak persoalan dalam kalangan masyarakat, orang awam tentang bagaimana vaksin ini akan diagihkan kepada masyarakat dan kesan sampingan yang bakal dihadapi jika ada.

“Buku ini dapat menjawab persoalan masyarakat berkaitan vaksin COVID-19,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Selasa.

BACA: Perjalanan ke luar negara mungkin lebih mudah jika divaksinasi - Perdana Menteri

[TERKINI] Pelancaran buku panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan oleh Perdana Menteri

Tambah beliau, dalam usaha mencapai sasaran 80 peratus rakyat menerima vaksin, banyak usaha perlu dilakukan dan fokus perlu diberi kepada meningkatkan kefahaman rakyat terhadap vaksin tersebut.

“Saya tertarik dengan tagline diumumkan Perdana Menteri, lindungi diri, lindungi semua. Maksudnya kita perlukan vaksin ini bukan saja untuk lindungi diri kita bahkan melindungi orang lain.

“Jika kita lihat jumlah 80 peratus vaksin yang akan diterima Malaysia, tidak semua akan dapat vaksin,” ujarnya.

Astro AWANI pada Selasa melaporkan bekalan vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer-BioNTech akan tiba di Malaysia pada 21 Februari ini.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Majlis Pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya di Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Jelas beliau, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Februari.


Vaksin COVID-19 | Persediaan negara ke arah program vaksinasi