KUALA LUMPUR: Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE JPM) menegaskan tidak pernah membelanjakan wang sebanyak RM2 bilion untuk menyiapkan buku Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ia sekali gus menafikan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan usul RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu kenyataan pada Selasa.

"Perancangan pembangunan negara untuk lima tahun ini disediakan oleh pegawai-pegawai UPE JPM di bawah selian saya, hasil input daripada libat urus dengan pelbagai pihak.

"Penyediaan RMK-12 melibatkan kos yang amat kecil untuk sesi libat urus, cetakan dan perunding media," memetik kenyataan tersebut.

BACA: Anwar persoal RM2 bilion diberi kepada konsultan luar siapkan Buku RMK-12

Justeru, Mustapa meminta Anwar memperbetulkan kenyataannya bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap pegawai UPE JPM dan kerajaan.

Ahli Parlimen Port Dickson hari ini mendakwa lebih RM2 bilion dibelanjakan oleh kerajaan untuk menyiapkan Buku RMK-12 yang dibentangkan kerajaan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Jelasnya, peruntukan tersebut yang diberikan kepada konsultan luar negara sewajarnya diberikan kepada pakar-pakar dalam negara untuk menjalankan kajian, termasuk berkaitan kemiskinan dalam menyiapkan Buku RMK-12.

Lebih RM2 bilion kepada konsultan luar untuk siapkan buku RMK-12