GUA MUSANG: Seorang buruh kampung dipenjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret Gua Musang, hari ini akibat memukul kepala isterinya menggunakan topi keledar.

Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Mohd. Shamsuri Rokman Yusuf, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tertuduh ditangkap pada 28 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Shamsuri didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang sebaya dengannya dengan memukul wanita itu menggunakan topi keledar di bahagian kepala.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah kedai makan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2, di sini, pukul 5 petang pada 25 Januari lalu yang didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana perlu bekerja dan menjaga ibu serta lima anaknya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ahmad Firdaus Abdul Hamid.

Terdahulu, tular rakaman video seorang wanita dimarahi, ditampar dan dipukul seorang lelaki menggunakan topi keledar di tepi jalan di media sosial Facebook dan TikTok pada 26 Januari lalu.

Video berdurasi 1 minit 47 saat itu memaparkan seorang lelaki tidak dapat mengawal kemarahan apabila menampar muka, menolak sebelum memukul kepala seorang wanita menggunakan topi keledar.