KUALA LUMPUR:Impian negara ialah untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, malangnya, tahun itu menjadi tahun yang menyaksikan Malaysia berserta negara-negara lain seluruh dunia berhadapan dengan cabaran ekonomi paling hebat pernah berlaku.

Justeru, usaha merangka belanjawan negara juga tidak pernah sesukar ini.

Sebelum ini, kerajaan boleh bergantung kepada pelbagai sumber pendapatan - daripada minyak, syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) sehinggalah kepada pembayar cukai individu.

Namun, disebabkan oleh harga minyak yang tidak menentu dan lemah, kejatuhan ketara pendapatan korporat serta kehilangan pekerjaan serta pemotongan gaji, negara kini menyaksikan penguncupan besar dalam kutipan cukai.

Memburukkan lagi keadaan, Jabatan Kastam melaporkan sebanyak RM812 juta ketirisan hasil negara bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini akibat daripada kegiatan mengelak cukai, penipuan komersil dan tuntutan cukai yang berlebihan.

Walaupun 85 peratus daripada jumlah ketirisan itu mungkin boleh diselamatkan, beberapa kes memerlukan proses yang lama untuk diselesaikan kerana ia melibatkan pengadilan di mahkamah.

Sementara itu, menyentuh mengenai keadaan ekonomi secara keseluruhannya pula, Bank Negara berkata, ketika negara dalam proses pemulihan, kelajuannya tidak sama dengan industri berkaitan pelancongan dan perkhidmatan paling terjejas teruk.

Menurut data terkini, pasaran tenaga kerja stabil pada Ogos tetapi kekal lemah dengan kadar pengangguran 4.7 peratus.

Keadaan masih lagi tidak menentu di peringkat negara dan dunia berikutan kemunculan semula kes COVID-19 di sini dan negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah.

Berhadapan dengan senario sebeginilah, bagaimana negara kita boleh mengharungi badai ekonomi terutama sekiranya syarikat minyak negara, Petronas, tidak dapat menyediakan dividen khas kepada kerajaan selepas mencatatkan kerugian pada separuh pertama tahun ini?

Pecahan cukai dan implikasi

Pada pembentangan belanjawan tahun lepas, kerajaan mengunjur untuk mencatatkan pendapatan sebanyak RM244.5 bilion atau 15.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 iaitu RM189.9 bilion daripada hasil kutipan cukai sementara selebihnya RM54.6 bilion daripada pendapatan bukan cukai.

Unjuran kutipan cukai didahului oleh cukai korporat dengan lebih daripada 50 peratus, diikuti cukai individu, pendapatan cukai petroleum, cukai digital, cukai, pelancongan, kutipan duti setem, cukai pegangan, cukai keuntungan hartanah sebenar (RPGT), cukai koperasi dan lain-lain bentuk cukai.

Cukai pendapatan korporat kekal pada 24 peratus sementara untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kadarnya ialah 17 peratus untuk RM600,000 pertama pendapatan tercukai mereka.

Cukai jualan dan perkhidmatan pula ditetapkan pada 10 peratus untuk jualan dan enam peratus untuk perkhidmatan, kadar RPGT tertakluk kepada tahun pelupusan aset, dan cukai perkhidmatan digital diperkenalkan pada kadar enam peratus.

Bagaimanapun, dengan COVID-19 terus menyengsarakan ekonomi global, korporat telah menyaksikan kejatuhan pendapatan yang ketara berikutan langkah-langkah yang diambil yang menjurus kepada antaranya, pengurangan yang semakin meruncing dalam pengeluaran dan permintaan untuk bahan bakar.

Harga minyak merudum ekoran kekurangan permintaan sejak awal tahun, bermula daripada penutupan ekonomi China sehinggalah kepada gangguan kepada permintaan global untuk bahan bakar, diikuti dengan perang harga minyak yang berterusan antara Arab Saudi dan Rusia.

Malaysia, yang merupakan negara pengeluar minyak, telah menanda aras minyaknya kepada minyak mentah Brent yang jatuh ke bawah paras AS$15 setong sejak beberapa bulan lepas, paras terendah sejak 2002. Ini memberi kesan besar kepada Belanjawan 2021 yang berdasarkan kepada andaian purata harga minyak pada AS$62 setong.

Menurut data daripada Kementerian Kewangan, pergantungan minyak Malaysia ialah 20.7 peratus.

Berdasarkan kepada nota penyelidikan oleh Maybank, setiap penurunan AS$10 setong akan mengurangkan pendapatan fiskal sebanyak RM7 bilion dan meningkatkan defisit belanjawan daripada nisbah KDNK sebanyak 45 mata asas.

Sementara itu, seorang penganalisis berkata, dalam tempoh 40 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kutipan cukai secara keseluruhannya telah merosot hampir 75 peratus, terutamanya kerana sebahagian besar sektor perkhidmatan seperti segmen perhotelan dan pelancongan mencatatkan pendapatan sifar.

Bahkan sebelum bermula PKPpun, industri itu telah mengalami kejatuhan mendadak dengan ketibaan pelancong China mencatatkan penurunan eksponen berikutan COVID-19.

Dan untuk memburukkan lagi keadaan sedia ada, Petronas pada bulan lepas, mengumumkan syarikat itu berada dalam kerugian dengan kerugian bersih RM16.5 bilion dan berdasarkan tempoh suku tahunan, ia mencatatkan kerugian bersih RM21 bilion pada suku kedua.

Pengurusan Petronas turut menyatakan dividen khas kepada kerajaan bergantung kepada kemampuan kewangannya.

Tekanan Fiskal dan Merangka belanjawan

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kejutan yang disebabkan oleh penularan COVID-19 telah mengheret ekonomi ke dalam kancah kemelesetan tahun ini.

"Aktiviti ekonomi hampir lumpuh pada pertengahan bulan Mac dan April berikutan penguatkuasaan PKP dan beransur-ansur pulih sejak Mei apabila sekatan ke atas pergerakan manusia mula dilonggarkan.

"Dengan ketiadaan vaksin COVID-19, sukar untuk menyaksikan sama ada ekonomi akan pulih sepenuhnya dalam waktu terdekat kerana sempadan antarabangsa masih lagi ditutup dan ini akan memberikan kesan buruk kepada sektor penerbangan dan pelancongan," kata beliau.

Pada suku kedua tahun ini, KDNK negara mencatatkan penguncupan 17.1 peratus.

Beliau menambah. kerajaan perlu kekal berwaspada dalam memastikan ekonomi domestik kekal rancak dan ini sekali gus menunjukkan betapa pentingnya dasar fiskal pengembangan dilanjutkan ke tahun 2021.

"Dalam merangka belanjawan, keperluan untuk merapatkan jurang peruntukan tidak seharusnya menjadi keutamaan walaupun kerajaan sudah pastinya perlu berhati-hati dengan perkara yang ingin dibelanjakan," kata beliau.

Beliau menekankan Belanjawan 2021 mesti menyediakan konteks serta platform untuk ekonomi bagi mempercepat dan menguruskan peralihan kepada normal baharu.

Afzanizam turut menegaskan, sektor-sektor seperti pembinaan mengalami prestasi yang kurang memuaskan dan justeru itu, mempercepatkan pelaksanaan projek-projek utama adalah langkah tepat kerana ia boleh merancakkan sektor pembinaan dan mungkin boleh mewujudkan tindak balas rantaian kepada industri lain seperti pembuatan dan perkhidmatan.

"Kerajaan juga harus menyediakan jalan/cara untuk perniagaan terutamanya untuk PKS yang berhasrat beralih daripada industri fokus masing-masing.

"Sebagai contoh, PKS berkaitan pelancongan yang mahu berhijrah ke industri lain, misalnya pertanian atau sektor berkaitan perkhidmatan lain, seharusnya diberikan latihan dan geran kewangan untuk memudahkan peralihan," kata beliau.

Sementara itu, seorang penganalisis berkata, dalam keadaan ekonomi semasa dengan gelombang COVID-19 ketiga telah menyebabkan satu lagi kejutan kepada ekonomi, kerajaan perlu lebih bersedia untuk berhadapan dengan keadaan yang lebih buruk.

"Prestasi industri pelancongan terus senyap dengan sekatan pengembaraan domestik dan antarabangsa. Perniagaan kecil juga berhadapan saat sukar apabila satu-satu kawasan itu diletakkan di bawah PKP Bersyarat atau Diperketatkan," kata beliau.

Beliau berkata, dengan Sabah lumpuh sepenuhnya dan Selangor dalam keadaan membimbangkan, ia akan menghentikan pertumbuhan ekonomi pada suku keempat.

"Belanjawan akan datang ini perlu dirangka ke arah membantu perniagaan kecil agar mereka dapat berdiri semula dan membantu peluang pekerjaan terus diwujudkan. Ia juga perlu memberikan keutamaan kepada penjagaan kesihatan, diikuti dengan bantuan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan supaya mereka tidak jatuh muflis selepas berakhirnya COVID-19," tambah beliau.

Mengenai pembiayaan belanjawan pula, beliau berkata, dengan penurunan cukai berserta harga minyak yang rendah, pendapatan untuk simpanan (coffers) kerajaan akan menjadi lebih ketat.

"Saya percaya kerajaan akan mendapatkan wang daripada pulangan dividen dari GLCs, kutipan cukai, pasaran bon serta rizab.

"Untuk makluman juga, nisbah hutang kepada KDNK mungkin perlu dinaikkan kepada 65 peratus untuk terus menyokong ekonomi tempatan," kata beliau.

Belanjawan 2021 dijangka dibentangkan di parlimen pada 6 November ini. - BERNAMA