PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 14 tahun terhadap seorang bekas guru sekolah rendah kerana kesalahan mencabul dan meliwat seorang remaja lelaki.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Lim Chong Fong, sebulat suara, menolak rayuan Mohamad Shafie Abdul Rani, 53, kerana sabitan atas kesalahan tersebut adalah selamat.

Dalam menyampaikan keputusan itu, Hakim Hadhariah berkata hakim perbicaraan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kesilapan dalam fakta dan undang-undang dalam mendapati perayu bersalah seperti pertuduhan.

Mohamad Shafie disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 27 Julai 2021 atas tiga pertuduhan mencabul mangsa ketika berusia 11 tahun di dalam bilik sebuah sekolah dan di pusat latihan guru di kawasan itu, daerah Hilir Perak, pada tahun 2012 dan 2013.

Dia juga didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan meliwat mangsa yang sama pada ketika itu berumur 17 tahun di sebuah rumah di Langkap, daerah Hilir Perak, pada Disember 2018.

Mohamed Shafie diperintah menjalani hukuman penjara secara berasingan dari tarikh ditangkap pada 8 Feb 2021 dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas itu.

Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara pada 26 Mei tahun lepas.

Perayu diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fuad Abdul Aziz.

-- BERNAMA