KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) disaran mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung kemasukan pelancong dan pengembara dari luar negara ke Malaysia bagi menangani penularan cacar monyet.

Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Shamsul Bahari Shamsudin berkata, perjalanan keluar rakyat negara ini terutamanya melibatkan negara-negara yang berisiko kepada penyakit berjangkit juga perlu diberi perhatian.

Jelas beliau lagi, setiap negara di dunia perlu memandang serius penularan wabak tersebut selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global pada Sabtu. 

"Kita perlu beri perhatian yang khusus dengan melaksanakan pemantauan SOP yang telah ditetapkan ataupun telah diputuskan pihak kementerian.

"Saya juga ingin mencadangkan agar pakar-pakar perubatan awam, doktor-doktor haiwan serta pakar-pakar keselamatan dan kesihatan pekerjaan duduk semeja. Sebabnya, kita lihat berdasarkan secara kolektif, penyakit-penyakit yang datang daripada ladang ternakan dan hutan yang berpunca daripada haiwan ini sudah mula memberi impak kepada kesihatan awam.

"Mereka perlu duduk bersama, berbincang dan mengemukakan kepada negara dan KKM, apakah cadangan-cadangan kawalan risiko yang terbaik dalam kawalan penularan jangkitan ini," katanya kepada Astro AWANI, hari ini.


Mengulas lanjut, Shamsul Bahari berkata maklumat-maklumat terkini mengenai penularan cacar monyet seharusnya didedahkan kepada masyarakat dalam memastikan mereka memiliki pengetahuan yang cukup berhubung wabak tersebut.

Selain itu, beliau menambah perkhidmatan makmal diagnostik disyor dibangunkan di negara ini sebagai memperkasakan pengesanan terhadap penyakit berjangkit, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap data-data dari negara lain.

"Bagaimanapun, secara peribadi saya melihat KKM sebenarnya memang sudah bersedia untuk menghadapi penyakit-penyakit berjangkit yang lain, cuma sesuatu yang baru perlu kita terokai, dan difahami dengan sebaik-baiknya.

"Pengalaman kita selama dua tahun mengendalikan situasi pandemik COVID-19 sepatutnya menjadi tunjang atau asas untuk membangunkan prosedur-prosedur tertentu dalam mengawal penyakit atau penularan penyakit berjangkit yang lain," ujarnya lagi.

Setakat ini dilaporkan lebih 16,000 kes cacar monyet direkodkan di 75 negara.