Cadang kilang ada kes COVID-19 tutup 14 hari - Aminuddin

Bernama
Jun 30, 2021 10:05 MYT
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, cadangan itu dikemukakan kepada agensi penguatkuasa bagi mengurangkan kes jangkitan akibat wabak maut itu, di negeri Sembilan. - Gambar fail
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mencadangkan kilang-kilang yang mempunyai kes positif COVID-19, ditutup 14 hari bagi memastikan kluster industri di negeri itu dapat dikawal.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, cadangan itu dikemukakan kepada agensi penguatkuasa bagi mengurangkan kes jangkitan akibat wabak maut itu, di Negeri Sembilan.
"Kita mohon pihak tersebut pertimbangkan cadangan ini, dan mengambil tindakan seterusnya supaya kluster industri dapat dikawal, sekali gus memutuskan rantaian pandemik ini," katanya pada sidang media secara dalam talian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri, hari ini.
Sementara itu Aminuddin berkata, Kompleks Belia Dan Sukan Paroi (KOMBES) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau, dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) dan akan dibuka pada Isnin depan.
Katanya pembukaan PPV itu, akan mempercepatkan sasaran 20,000 vaksin diberikan kepada rakyat di negeri ini, dalam masa sehari.
Dalam pada itu, beliau berkata seramai 655,865 individu di negeri itu, telah mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19 dan daripada jumlah itu 177,793 individu telahpun menerima dos pertama manakala 90,203 penerima, sudah melengkapkan dua dos vaksin setakat ini.
Hari ini, Negeri Sembilan merupakan negeri kedua tertinggi merekodkan kes positif COVID-19 harian, iaitu 644 kes manakala Selangor kekal dengan catatan kes harian tertinggi, 2,836.
-- BERNAMA
#Aminuddin Harun #MB Negeri Sembilan #tutup kilang #COVID-19 #kes positif #pandemik #vaksin #PPV #Pusat Pemberian Vaksin #jangkitan