KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)  tidak menolak kemungkinan idea menyelaraskan kadar bilik hotel dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (USD) memberi kesan positif kepada sektor pelancongan.

Bagaimanapun, jelas Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, pihaknya menyerahkan keputusan itu kepada penggiat industri perhotelan sambil menasihatkan ia perlu dipertimbang dengan lebih terperinci bagi mengelakkan nilai mata wang ringgit dipandang enteng.

“Sudah tentu, persepsi orang itu bahawa dengan kadar bilik hotel dalam mata wang USD, ia akan mencerminkan bahawa hotel itu mempunyai standard yang tinggi.

“Dan, ia pastinya akan menarik minat orang untuk berkerja di sektor perhotelan. Hakikatnya yang perlu kita sedar bahawa, masih ada lagi kekangan kerana tidak cukup pekerja, malah pekerja tempatan kita juga tiada.

“Jadi, mungkin itu (selaras kadar) akan menarik minat pekerja. Cuma, saya ingin tekankan di sini bahawa, kalau mereka hendak guna USD, kita serahlah kepada mereka.

"Kerana, mereka yang terlibat dengan perniagaan itu, jadi mereka lebih arif. Cuma kita harap ia dipertimbangkan terlebih dahulu, takut nanti ada yang menganggap kita tidak yakin dengan nilai mata wang ringgit,” ujar Nancy.

Caj Bilik Dolar AS | Mampu tarik minat pelancong, pekerja hotel

BACA: Caj bilik dalam USD dapat kurangkan persaingan harga antara hotel bajet dan hotel mewah

Beliau berkata demikian pada sidang media Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE2.0) Kluster Penginapan di sebuah hotel di ibu negara malam tadi.

Ia sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Datuk Megat Shahrul Azman Abas sebelum ini mengenai hasrat persatuan itu menyelaraskan kadar bilik dalam mata wang USD seperti negara serantau lain.

Kata Megat Shahrul, sekiranya kerajaan dapat menyokong hasrat MAH untuk menyelaraskan kadar bilik dalam mata wang USD, ia akan dapat menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke negara ini.