Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan parti Islam itu diterima baik di negeri Sabah.

Beliau juga memaklumkan senarai calon yang akan bertanding di Sabah dalam pilihan raya umum ke-14 akan datang telah dimuktamadkan.

Katanya,senarai calon yang dikemukakan sudah diterima dan diluluskan Majlis Syura Ulama dan hanya menunggu pengumuman daripada pihak pimpinan tertinggi Pas Pusat.

"Parti sudah terima dan Majlis Syura pun sudah lulus, cuma pengumuman itu nanti kita akan buat kemudian," katanya selepas majlis pelancaran Unit Pengupayaan Orang Kelainan Upaya di sini pada Ahad.

Tambahnya, jumlah bilangan kerusi dan kawasan yang bakal ditandingi calon Pas itu hanya akan diputuskan pucuk pimpinan.

Sementara itu, mengulas program Fastaqim 2.6 Negeri Sabah yang diadakan di Kampung Sundang Laut, Batu Sapi, pada Sabtu, Tuan Ibrahim berkata, ia perhimpunan yang sangat bagus.

"Lebih 1,000 orang hadir. Ia sangat luar biasa. Mereka meluahkan kesusahan hidup, kos hidup yang meningkat, dan kerajaan seolah-olah membiarkan mereka.

"Kita boleh bayangkan, selama 30, 40 tahun, masih tiada hak milik. Rumah dalam keadaan tak menentu di kawasan setinggan. Bekalan air tiada. Kita hanya ada dua tahun lagi untuk mencapai negara maju," tambahnya.