Polis hari ini mengingatkan calon parti-parti politik yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) supaya sentiasa mematuhi peraturan berkempen bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata calon perlu memohon permit untuk berkempen dari pihak polis seperti yang dikehendaki Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Katanya, permit hanya dikeluarkan jika semua prosedur berkempen yang ditetapkan itu dipatuhi oleh calon parti politik terbabit demi memastikan ketenteraman awam.

"Permit ini perlu untuk memastikan keselamatan semua pihak agar penceramah tidak bertembung di tempat sama ketika berkempen," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan berjumlah RM30,000 dari Panca Melati Auto Sdn Bhd dan IRDK Group of Companies untuk Tabung Wira Lahad Datu Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Khalid turut menyeru rakyat Malaysia khususnya di pantai Timur Sabah supaya tidak bimbang dan takut untuk keluar mengundi.

Beliau berkata anggota polis tambahan yang dihantar ke Sabah dapat membantu Polis Sabah memantau dan memastikan ketenteraman proses pilihan raya di negeri itu.

Kawasan pantai timur Sabah khususnya di Lahad Datu berdepan dengan pencerobohan sekumpulan pengganas dari selatan Filipina pada Februari lepas.

Khalid berkata keadaan kampung di gugusan Felda Sahabat, Lahad Datu juga kembali normal apabila orang ramai mula menjalankan kerja-kerja rutin seperti mengutip buah kelapa sawit.