SEREMBAN: Mengecat van berwana kuning antara taktik pengusaha van sekolah tanpa lesen dalam melakukan perkhidmatan penghantaran pelajar ke sekolah di Negeri Sembilan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf berkata susulan itu, ibu bapa berperanan memastikan hanya menggunakan perkhidmatan van sekolah berlesen serta mempunyai permit daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menjamin keselamatan anak-anak.

Beliau berkata penggunaan perkhidmatan van sekolah yang tidak sah berisiko kerana kenderaan yang digunakan tidak mempunyai perlindungan insurans.

"Mereka ini mengaburi ibu bapa dengan menunjukkan van masing-masing yang dicat warna kuning itu adalah van sekolah sedangkan tiada permit serta tiada perlindungan insurans.

"Dari segi hasil risikan di kawasan sekolah di sini, terdapat beberapa van haram ini yang mengambil dan menghantar pelajar di sekolah dengan jumlah yang ramai untuk mendapatkan keuntungan lebih tanpa memikirkan aspek keselamatan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Operasi Bas Sekolah Haram di Negeri Sembilan di sini, hari ini

Beliau berkata antara alasan pengusaha van sekolah yang tidak memohon permit adalah mereka perlu mengeluarkan kos tinggi untuk mengikut standard ditetapkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Selain itu, mereka tidak perlu melalui pemeriksaan PUSPAKOM yang diadakan secara berkala enam bulan sekali.

Mengulas lanjut mengenai operasi hari ini, Hanif Yusabra berkata operasi van sekolah tanpa permit dijalankan di sekitar Seremban melibatkan 28 anggota termasuk pegawai penguat kuasa dan anggota.

"Anggota penguat kuasa JPJ telah membuat pemerhatian dan risikan terlebih dahulu bagi mengenal pasti kenderaan-kenderaan yang beroperasi tanpa permit sah. Hasil risikan mendapati sebanyak 16 kenderaan dikenal pasti beroperasi tanpa permit yang sah," katanya.

Hanif Yusabra berkata antara kesalahan dikenal pasti adalah di bawah Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Seksyen 90 (1) APJ 1987 iaitu tiada perlindungan insurans.

-- BERNAMA