Kementerian Kewangan merancang untuk menubuhkan jawatankuasa bersama persatuan peruncit di negara ini untuk membantu kerajaan dalam pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP atau GST) yang dikuatkuasakan mulai 1 April tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata cadangan yang turut dikemukakan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia itu bagi membantu peniaga kecil khususnya pengusaha kedai runcit menentukan sama ada barangan yang dijual akan dikenakan CBP atau sebaliknya.

"Mereka menjual pelbagai jenis barang, jawatankuasa ini akan berbincang dengan persatuan peruncit bagi membantu mengeluarkan senarai yang dijual oleh peruncit dan memudahkan mereka menyenaraikan barangan yang dikenakan CBP.

"Langkah ini juga akan membantu mereka termasuk pengguna yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai CBP," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Malaysia Singapore Coffee Shop Proprietors' General Association, Ho Su Mong dan Presiden Persatuan Kedai Serbaneka Kanada, Alex Schollen di sini.

Pertemuan itu bagi berkongsi pengalaman pelaksanaan CBP di Kanada yang telah melaksanakan cukai itu sejak 1991 pada kadar 7.0 peratus.

Selepas 17 tahun, kadar CBP di Kanada berkurangan kepada 5.0 peratus. Chua juga berkata ketika awal pelaksanaan CBP di Kanada, ramai pengguna yang keliru mengenai senarai barangan yang dikenakan cukai baharu tersebut.