AMPANG: Pasangan suami isteri yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes letupan yang menyebabkan seorang tukang masak maut di Pandan Indah, di sini, pada Khamis lalu direman selama tujuh hari.

Kedua-dua suspek iaitu lelaki berusia 33 tahun dan isterinya berusia 30 tahun itu ditahan di Serdang, Kedah, malam Selasa oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Kedua-dua suspek terbabit direman bermula Rabu sehingga 10 Januari ini.

Setakat ini kejadian berkenaan dipercayai bermotifkan rasa cemburu suspek lelaki terhadap mangsa.

Dalam kejadian pada 29 Disember lalu, media melaporkan mangsa berusia 28 tahun maut selepas satu bungkusan yang diletakkan di atas bonet keretanya meletup dalam kejadian di hadapan sebuah restoran yang merupakan tempat kerjanya.

Siasatan awal mendapati mangsa telah melihat satu bungkusan berada di bonet keretanya jenis Toyota Corolla Altis dan memegangnya sebelum meletup.

Letupan | Pelayan restoran maut bungkusan meletup di tangan


Letupan itu mengakibatkan mangsa parah di badan dan tangan sebelum dikejarkan oleh orang awam ke Hospital Ampang. Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam ketika sedang menerima rawatan.

Polis turut menemui beberapa objek dipercayai bahan letupan yang digunakan berhampiran lokasi kejadian tetapi masih menyiasat perkara berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -- Sinar Harian