MACHANG: Polis tidak menolak kemungkinan cemburu antara motif wanita hamil tujuh bulan yang mati ditembak di perut dalam kejadian di Kampung Repek, Pasir Mas petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, bagaimanapun berkata, pihaknya akan menyiasat secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian.

Sehingga kini kata Muhamad Zaki, pihaknya sudah menahan seorang lelaki berusia 40 tahun bagi membantu siasatan dan suspek berkenaan ada hubungan dengan mangsa.

“Kita tentukan berdasarkan latar belakang, berdasarkan aktiviti dia, berdasarkan keadaan hidup dia, ada kita narrow down, ini motif dia.

"Tetapi saya tak boleh jelaskan lagi pada hari ini, kita tunggu laporan penuh bedah siasat, kita kena tunggu laporan penuh soal siasat ataupun kenyataan daripada saksi-saksi supaya apa yang kita jangkakan ini benar, tapi kebenaran tu selepas semua ini ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Machang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, di sini, siang tadi.

BACA: Wanita hamil maut ditembak di perut, buruh direman 5 hari

BACA: Wanita hamil mangsa tembakan merupakan ibu tunggal tiga anak

BACA: Wanita mengandung ditemui maut dengan kesan tembakan pada perut

Menurut Muhamad Zaki lagi, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada mangsa ditembak di lokasi kejadian penemuan mayat atau ditembak di lokasi lain sebelum dibawa ke lokasi tersebut.

Berdasarkan rakaman percakapan ibu mangsa, wanita berkenaan dikatakan keluar untuk mengurut, dan jarak rumah mangsa dengan lokasi kejadian adalah sekitar 15 kilometer.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek menggunakan pistol separa automatik .38 berdasarkan penemuan kelongsong peluru ditemui.

Terdahulu, seorang wanita hamil tujuh bulan ditemukan mati dengan kesan tembakan di perut dalam sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan di Kampung Repek.

Mangsa, Emirah Mazlan, 26, ditemukan sekitar jam 4 petang oleh orang awam sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.