ALOR SETAR: Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bersama tiga pegawai kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) direman empat hari bermula hari ini, bagi membantu kes penyelewengan dana berjumlah RM2.2 juta.

Perintah permohonan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim untuk membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan keempat-empat suspek berusia antara 49 hingga 58 tahun itu.

Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana disyaki terbabit salah guna kuasa dan kedudukan bagi menyeleweng dana milik syarikat antara 2016 sehingga 2019 dengan menyalurkan sejumlah dana ke dalam dua syarikat berlainan.

Keempat-empat suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah antara jam 3.45 petang hingga 4.15 petang Rabu.

Semua suspek mempunyai kepentingan dalam dua syarikat berkenaan.