CEO syarikat pelaburan didakwa perdaya dua individu RM80,000

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 2, 2022 08:48 MYT
Tertuduh, Abdul Wahab S Mohd Mydin mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memperdayakan dua individu mendepositkan wang berjumlah RM80,000 pada April dua tahun lepas. - Gambar Astro AWANI
BUTTERWORTH: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pelaburan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas dua pertuduhan memperdayakan dua individu mendepositkan wang berjumlah RM80,000 pada April dua tahun lepas.
Tertuduh, Abdul Wahab S Mohd Mydin, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan pertama, Abdul Wahab, didakwa telah memperdayakan seorang lelaki berusia 54 tahun, untuk mendepositkan RM30,000 ke dalam akaun RHB Bank atas nama Green Age Solar Technology bagi mendapat keuntungan hibah sebagaimana dalam perjanjian yang mana individu berkenaan tidak akan menyerahkan wang terbabit jika tidak diperdaya tertuduh.
Kesalahan itu dilakukan di block AG & A-1 Wellesley Home , Jalan Perusahaan Perai sekitar pukul 11.01 pagi sehingga 11.08 pagi pada 21 April 2020 .
Manakala bagi pertuduhan kedua pula, Abdul Wahab didakwa melakukan kesalahan sama iaitu memperdayakan individu berusia 52 tahun untuk mendepositkan RM50,000 ke dalam akaun RHB Bank bagi tujuan sama pada 19 April 2020 hingga 22 April tahun sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun atau tidak lebih sepuluh tahun, sebat dan juga denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh diwakili peguam Aznil Majid.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dan kes disebut semula pada 2 September depan bagi serahan dokumen
Sebelum ini, media melaporkan Abdul Wahab dihadapkan di mahkamah sama atas 30 pertuduhan bersubahat dengan seorang pengarah urusan syarikat menerima wang deposit tanpa lesen sah bernilai RM1 juta pada 29 Jun lepas.
#CEO #syarikat pelaburan #Mahkamah Sesyen Butterworth #keuntungan hibah