Ceroboh hutan simpan: ADUN Selangor ditahan tiada permit, rentas negeri tanpa kebenaran

Sinar Harian
Julai 18, 2021 20:44 MYT
Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sungai Koyan pada pagi Ahad. -Gambar Sinar Harian
KUANTAN: Seramai 29 individu termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, dipercayai tidak mempunyai permit memasuki Kompartmen 536 Hutan Simpan Ulu Jelai, Perkampungan Orang Asli Rakoh, Lipis dan tiada kebenaran merentas negeri.
Sinar Harian melaporkan, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kesalahan itu dikesan selepas siasatan lanjut terhadap kesemua suspek di Balai Polis Sungai Koyan, pada jam kira-kira 8 pagi, Ahad.
Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan membabitkan 21 lelaki dan tujuh wanita serta seorang wanita Orang Asli.
"Kesemua mereka ditahan di bawah Akta 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 dan kertas siasatan dibuka pegawai penyiasat Jabatan Hutan Raub.
"Polis juga telah menjalankan siasatan ke atas kesemua suspek kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perkara 5(1)/17(1) Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah di Dalam Kawalan Tempat Jangkitan) 2020 dan Akta Orang Asli 1954," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
BACA: Adun Selangor antara 29 ditahan kerana disyaki ceroboh hutan simpan
Beliau berkata, pada Sabtu Pejabat Hutan Daerah Lipis menerima maklumat awam terdapat sekumpulan kenderaan memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai untuk memberikan bantuan kepada masyarakat Orang Asli
Jelasnya, selepas semakan dibuat dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) mendapati tiada sebarang kelulusan dikeluarkan bagi tujuan itu.
"Seterusnya pegawai pejabat hutan telah mengaturkan satu pasukan dan dibantu pihak polis telah mencari kumpulan tersebut dan menjumpai mereka Kompatmen 536 Hutan Simpan Ulu Jelai berhampiran penempatan Orang Asli pada jam 1 pagi serta mendapati kumpulan tersebut sedang berkumpul.
"Kesemua suspek diminta mengemukakan permit memasuki hutan tetapi gagal berbuat demikian, selain tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," ujarnya.
Azli menjelaskan, pejabat hutan menyita sebanyak 11 kenderaan pacuan empat roda dan membawa mereka ke Balai Polis Sungai Koyan untuk siasatan lanjut.
Beliau menambah, kesemua mereka dari Kuala Lumpur datang ke Perkampungan Orang Asli Rakoh untuk misi memberi bantuan.
Pada Ahad tular di laman sosial Facebook mengenai penahanan Adun itu dan 29 yang lain serta 11 buah kenderaan pacuan empat roda disita.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian: Tiada kebenaran rentas, ceroboh hutan
#ceroboh hutan #rentas negeri #adun selangor #hutan simpan pahang #Pahang #ditahan #Azli Mohd Noor #Perkampungan Orang Asli Rakoh #Kompartmen 536 Hutan Simpan Ulu Jelai #Akta Perhutanan Negara